PUTRAJAYA: Umat Islam disaran menunaikan solat sunat gerhana bulan berjemaah dan adakan khutbah gerhana hari ini berikutan fenomena gerhana bulan separa yang dijangka bermula pada jam 4.49 petang ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, berkata fasa pertama gerhana bulan bermula jam 4.49 petang itu dijangka mencapai tahap kemuncak pada jam 7.03 malam dan dijangka berakhir pada jam 9.17 malam. 


“Sehubungan itu, JAKIM meminta semua masjid dan surau mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan sempena tanda kebesaran Allah ini. 

JAKIM akan menganjurkan solat sunat ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara selepas solat Maghrib. - Datuk Othman Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
“JAKIM akan menganjurkan solat sunat ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara selepas solat Maghrib.

“Selain itu, Seksyen Falak Jakim dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia akan mengadakan aktiviti cerapan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini.

“Orang ramai, terutama penduduk Putrajaya dijemput menyaksikan fenomena alam semula jadi dan bersama menunaikan solat sunat ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) turut menyediakan beberapa teleskop untuk orang awam menyaksikan gerhana bulan separa di Planetarium Negara di ibu negara. 
Berdasarkan maklumat di laman web Angkasa, program itu akan berlangsung dari jam 8 malam hingga 10 malam ini dan masuk adalah percuma.