KUALA LUMPUR: Perkhidmatan LRT dan monorel di Lembah Klang akan dilanjutkan untuk dua malam berturut-turut mulai esok sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, Jumaat ini.
RapidKL, iaitu operator LRT dan monorel dalam kenyataan di sini, hari ini, berkata perkhidmatan percuma juga akan diberikan kepada semua pengguna yang menghadiri acara 'Perhimpunan 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati' yang akan diadakan di Kompleks Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.
Bersempena dengan sambutan Ambang Merdeka esok, perkhidmatan LRT di stesen terpilih dan semua stesen monorel akan dilanjut sehingga jam 1 pagi keesokan harinya.
Stesen berkenaan ialah Bandaraya, Masjid Jamek, Hang Tuah, Titiwangsa, Kelana Jaya, KL Sentral, Masjid Jamek, Dang Wangi dan KLCC.
"Stesen LRT yang lain akan ditutup mengikut jadual biasa. Bagaimanapun, tren akan berhenti untuk menurunkan penumpang dan mereka ada akses untuk keluar stesen," kata jurucakap RapidKL, Masnizam Hashim.
Katanya, bagi operasi pada 31 Ogos, operasi LRT juga akan dilanjut sehingga jam 1 pagi untuk Stesen Bukit Jalil, manakala stesen LRT dan monorel lain dibuka untuk penumpang keluar saja.
Sehubungan itu, masa terakhir pelepasan bas RapidKL di stesen terbabit adalah pada jam 1.30 pagi.
"Kita akan memantau keperluan tren untuk membawa pulang pengunjung dan sekiranya perlu, operasi ini akan dilanjutkan," katanya.
Untuk perkhidmatan percuma ke Bukit Jalil pada hari Jumaat, Masnizam berkata orang ramai boleh mendapatkan token khas perjalanan percuma mulai jam 4 petang yang akan disediakan di semua stesen LRT dan monorel, manakala untuk perjalanan pulang, token boleh diperoleh di Stese LRT Bukit Jalil.
"Mereka yang inginkan token ini perlu mengambil sendiri di kaunter tiket di stesen LRT dan monorel pada hari Jumaat," katanya.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment