AMPANG: “Perompak itu sempat menjamah biskut raya dan minum air sirap dalam peti ais seolah-olah beraya dalam rumah kami pula.
“Malah, mereka sempat meletakkan tiga gelas air itu dalam sinki. Mereka lakukan itu kerana tahu kami tiada di rumah,” kata pelawak, Imuda atau nama sebenar, Abdul Rahim Muda, 52.
Beliau yang juga penyanyi, pelukis serta pelakon popular menerusi sitkom komedi, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, mendakwa mengalami kerugian hampir RM7,000 selepas barang berharga miliknya dilarikan kumpulan yang memecah masuk rumahnya di Jalan Mamanda 12, di sini.
Difahamkan, Imuda sekeluarga pulang beraya ke Pulau Pinang sejak 17 Ogos lalu bagi menyambut Aidilfitri sebelum pulang semula ke rumahnya, kelmarin.
“Saya tiba di rumah pada jam 3 petang semalam (kelmarin) dan langsung tidak menyedari rumah sudah dipecah masuk kerana tiada kesan umpil pada pintu. “Bagaimanapun, sebaik naik ke tingkat atas, saya terkejut melihat lima bilik berselerak. Malah, jeriji tingkap juga terbuka dengan kesan umpil,” katanya.
Selepas memeriksa, katanya, barang berharga seperti komputer riba, dua telefon bimbit dan empat jam tangan berjenama hilang.
“Saya tidak tahu bila rumah saya dipecah masuk kerana lebih 10 hari meninggalkan rumah. Malah, jiran juga tidak menyedari kejadian itu,” katanya. Menurutnya, kejadian itu kali pertama berlaku selepas setahun berpindah di situ bersama isteri, Zabarina Haja Mushadi Ali, 30, dan tiga anaknya Raihana, 17, Mohd Redza, 11, dan Muhammad Rayyan Ziqri, 17 bulan.
Menurutnya, beberapa bulan lalu, isterinya hampir diragut, namun kejadian disedari jirannya yang menjerit menyebabkan suspek bertindak melarikan diri.
“Saya difahamkan, beberapa jiran lain juga pernah mengalami kejadian sama apabila rumah dipecah masuk dan menjadi mangsa ragut. “Saya bimbang keselamatan keluarga dan berharap polis mempertingkatkan rondaan di sini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi mengesahkan kejadian.
No comments:
Post a Comment